“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.
Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?
“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Aneh.
Mencintai insan yang belum ada.
Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.
Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.
Cinta luar biasa.
Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.
SENYUMAN PERPISAHAN
Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,
Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.
“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.
Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
“Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya.
Kita.
SEBUAH PERTANYAAN CINTA
Justeru…
Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….
“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
68000 AMPANG
Bagaimana hendak mencintai seorang manusia yang kita tidak pernah jumpa?
Tidak pernah bertentang mata.
Tidak pernah melihat wajah dan susuk tubuhnya.
Soalan itu menerjah fikiran kita hari ini, tatkala diajak mengasihi seorang lelaki Arab bernama ‘Muhammad bin Abdullah’.
Apatah lagi yang diajak itu adalah anak-anak.
Mungkinkah mereka jatuh cinta dengan ‘lelaki itu’?
Lelaki yang tidak pernah ditemui. Tidak pernah dikenali.
Namun mencintai seorang secara ghaib bukan sesuatu yang mustahil. Lihat geng-geng rambut pacak itu. Mereka itu sedang bercinta dengan siapa? Cuba tanya siapa pelopor rambut pacak itu, di mana kampungnya, apa makanan kegemarannya, siapa isterinya, apa nama anak-anaknya dan mengapa nama mereka begitu, dia bermain bola dengan kelab mana, pasti rambut pacak itu mudah disusuli dengan jawapan lengkap pada soalan-soalan itu tadi.
Tetapi pernahkah mereka bertemu dengan David Beckham?
Bertuturkah mereka dengan bahasa Beckham?
Pernah ke Manchester?
Pernah ke Madrid?
Pernah ke Los Angeles?
Majoritinya hanya menggelengkan kepala.
Tetapi mereka sangat memuja lelaki itu. Baik lelaki, mahu pun perempuan. Mereka tidak pernah bertemu dengannya, tetapi ‘amat menyintainya’.
Kredit Ilustrasi whateverattack.deviantart.com
Tanyalah budak muda rambut lebat sikat ke depan, kurus kering mendedah tulang rusuk dengan gaya seksi seperti K-Pop yang dipaksa menjadi M-Pop, mereka itu sedang bercinta dengan siapa? Pernahkah mereka ke bumi Sonata? Bertuturkah mereka dengan bahasa Korea? Pasti sahaja genre yang dipaparkan itu lengkap dengan info sirah kehidupan Kim Jaejoong dan Jung Ji-Hoon.
Generasi muda kita memang ramai yang sedang bercinta dengan cinta yang ghaib. Menyintai seorang yang tidak pernah ditemui.
Keupayaan cinta yang sepatutnya membolehkan mereka mencinta lelaki ghaib paling hebat, Muhammad bin Abdullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
SEPERTI AL-QURAN
Ali bin Hussein bin Ali radhiyallahu ‘anhum pernah berkata, “Kami diajari dengan Seerah sebagaimana kami diajari dengan al-Quran”
Seorang cicit juga sudah masuk ke cabaran itu.
Mencintai moyangnya, seorang Rasul yang mulia, lelaki ‘ghaib’ yang tidak pernah ditemuinya. Namun cintanya kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam datang hasil pendidikan. Beliau didedah, diajar, dibentuk dan membesar dengan mempelajari Sirah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, seperti mana dampingannya dengan al-Quran itu sendiri.
Apakah yang menemani anak-anak kita?
Cukupkah beberapa minit di sekolah mereka didedahkan kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam?
Sesungguhnya anak-anak kita mampu mengasihi ‘lelaki ghaib yang tidak pernah ditemui itu’.
Asalkan mereka dididik mengenalinya oleh kita yang terlebih dahulu perlu bertanya, “cintakah aku kepada lelaki ghaib itu?”
“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” [Al-Ahzaab 33: 56]
=====================================
Allahumma solli 'ala muhammad waa'ala alihi wasohbihi wabarik wasallim~
**juga ada disiarkan dalam risalah mingguan kami, Quantum Huffaz,lebih ringkas dan padat**
No comments:
Post a Comment